Wednesday, 14 September 2011

Pengenalan

Pendidikan ialah suatu proses perkembangan individu secara menyeluruh dan seimbang untuk memperkembangkan fizikal, intelek, emosi dan sosial. Pendidikan dapat menambahkan kemahiran, kebolehan, pengetahuan dan pengalaman supaya dapat memberi faedah dan meningkatkan kemajuan dalam kehidupan untuk membantu diri sendiri,masyarakat,bangsa dan negara. Pendidikan juga merupakan salah satu proses pengalaman yang kita perolehi dari kita kecil sehingga dewasa secara berterusan dan sentiasa berkembang sepanjang hayat . Pengertian bagi masyarakat primitif atau masyarakat dahulu ialah latihan vokasional dan adat resam, kepercayaan serta upacara keagamaan disampaikan melalui tunjuk ajar secara langsung dan tidak langsung daripada keluarga, pergaulan orang dewasa dengan orang muda serta masyarakat terdekat. Manakala pengertian pendidikan bagi masyarakat moden ialah latihan yang khusus bagi menguasai kemahiran dan memperolehi ilmu pengetahuan  melalui pengajaran yang disampaikan secara langsung oleh guru yang berilmu dan mempunyai pelbagai kemahiran mengajar untuk memperbaiki kualiti diri supaya menjadi lebih baik serta mampu mengharungi masa akan datang.

Pengajaran pula adalah proses interaksi yang dijalankan bersama oleh guru dan pelajarnya. Pengajaran ini adalah dirancangkan guru secara sistematik dan teliti untuk melaksanakannya dengan kaedah dan teknik mengajar yang sesuai, membimbing, menggalak dan memotivasikan murid supaya mengambil insiatif untuk belajar, demi memperoleh ilmu pengetahuan dan menguasai kemahiran yang diperlukan. Pengajaran juga merupakan suatu cara atau sistem mengajar yang ditujukan kepada murid bertujuan untuk membawa perubahan kepada diri mereka melalui penyampaian ilmu pengetahuan, mendidik serta melatih yang disampaikan oleh guru atau pendidik.

Pembelajaran ialah proses yang mana ia dapat mengubah maklumat dan pengalaman  kepada pengetahuan, kemahiran, tingkah laku dan sikap. Selain itu, pembelajaran juga merupakan proses untuk menambahkan ilmu pengetahuan yang sedia ada melalui khidmat pendidik. Pembelajaran melalui pendidik lebih berkesan kerana ia  membolehkan seseorang atau pelajar memperolehi ilmu dan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan tabiat, serta pembentukan sikap dan kepercayaan kepada diri sendiri. Pembelajaran juga boleh dilakukan secara individu iaitu dengan mencari maklumat melalui buku, majalah, internet dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawa pembelajaran bukan sahaja dapat meningkatkan ilmu pengetahuan malahan dapat memberi perubahan kepada tingkah laku, sikap dan tabiat seseorang.

Takrifan teknologi secara umumnya ialah aplikasi pengetahuan sains yang boleh memanfaatkan serta menyelesaikan masalah manusia yang dihadapi dalam kehidupan seharian. Secara terperincinya, teknologi yang dikatakan sebagai proses adalah penggunaan pengetahuan sains dan ilmu-ilmu lain untuk menghasilkan tugasan-tugasan pembelajaran yang praktikal. Proses tersebut adalah bagi menyelesaikan masalah-masalah dengan menggunakan teknik, kaedah, reka bentuk atau alat yang berkesan dan teruji. Selain itu, teknologi juga adalah sebagai produk atau bahan di mana penghasilan perkakasan dan perisian hasil dari proses-proses teknologi itu sendiri. Contohnya, projektor (perkakasan) dan film, (perisian) adalah hasil teknologi.

Penaksiran merupakan cabang dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan secara berterusan merangkumi aktiviti menterjemah, merekod serta menghuraikan maklumat yang berkaitan dengan pembelajaran bagi sesuatu tujuan. Penaksiran bermaksud satu proses mengumpul serta menganalisis maklumat dan seterusnya mengenal pasti kecerdasan dan potensi murid bagi memperkukuh dan mempertingkatkan perkembangan mereka. Dari sudut seorang pendidik, penaksiran merupakan satu proses di mana pendidik bertindak berdasarkan kesimpulan selepas melalui proses mengumpul bukti dan membuat inferens. Hasil penaksiran membolehkan guru mengambil tindakan susulan yang berkesan dan seterusnya membantu guru mengembangkan potensi murid ke tahap optimum dalam domain kognitif, afektif dan psikomotor. Penaksiran itu adalah konstruktif apabila penaksiran itu sendiri menjadi salah satu pemangkin ke arah pembelajaran dalam kalangan pelajar.

Pendidikan sebenarnya berkait rapat dengan pengajaran dan pembelajaran di mana pendidikan wujud apabila proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Jika proses pengajaran dan pembelajaran berlaku dengan baik, hasil daripada didikan dapat melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Pengajaran dan pembelajaran pula adalah suatu proses seiring antara guru dan pelajar yang di mana guru merupakan individu yang menyampaikan ilmu serta membimbing manakala pelajar pula sebagai penerima ilmu yang dapat dilihat daripada perubahan pengetahuan, kemahiran dan sikap. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, teknologi digunakan bagi memudahkan proses penyampaian ilmu pengetahuan dan maklumat serta menarik perhatian pelajar untuk mendalaminya. Proses pengajaran dan pembelajaran boleh dianalisis melalui proses penaksiran iaitu dengan memberi peluang kepada pelajar bagi menunjukkan pemahaman dan kemahiran masing-masing dalam bentuk ujian dan seumpamanya.

1 comment:

  1. tengok tulisan yg colourful bersemangat nak baca...tp perlu rngkaskan lg supaya mudah difahami...good job!!

    ReplyDelete